Ros
sedang bermain cantum-cantum sistem suria di ruang tamu apabila dia
tercicir buah Musytari ke arah pintu rumah. Tiba-tiba sahaja Upin dan Ipin
berlumba masuk, dan Ipin tersepak buah Musytari jauh ke udara. Mujurlah
Ros sempat menyambutnya dengan selamat. Ipin bertanya apa yang sedang
dilakukan oleh kakaknya, tetapi Ros meminta supaya mereka menjauhkan
diri dari projek sains sekolahnya. Tetapi Upin dan Ipin tetap mahu
menunjukkan kepandaian diri dengan menunjukkan di mana untuk memasang
buah-buah planetnya.
Upin dan Ipin pandai pasal Sistem Suria.
Setelah siap mencantum, Upin dan Ipin ditengking oleh Kak Ros kerana
itu bukan projek sekolah mereka. Tetapi Upin dan Ipin menunjukkan bahawa
semua planet dipasang susun dengan betul, Ros berlembut suara menanya
bagaimana mereka tahu. Maka kembar itu mengajak Kak Ros untuk menanya
mereka jika mereka ada sebarang soalan mengenai planet kerana kononnya
mereka paling arif mengenai planet-planet.
Ros yakin bahawa mereka berlagak dan menduga mereka: planet
manakah yang paling kecil dan yang paling besar. Dengan senangnya mereka
menunjukkan Utarid dan Musytari, lalu meminta Kak Ros untuk bertanya
lagi. Ros bertanya pula: kenapa ada siang dan malam? Upin dan Ipin
mengacah pula: siang untuk bermain, malam untuk tidur, jadi Kak Ros pun
geram. Setelah bergurau, Upin dan Ipin dengan bangga menceritakan
"pengalaman" mereka sebagai "angkasawan".
Angkasawan Upin dan Ipin.
Angkasawan Upin dan Ipin mendarat di atas Bulan dengan menaiki
prob yang dilancarkan dari kapal angkasa ulang-alik. Sebaik keluar,
mereka memacakkan bendera kebangsaan di atas permukaan Bulan dan
menikmati pemandangan indah Bumi dari Bulan. Ipin bertanya, mengapa Bumi
sebelah gelap, sebelah terang. Jawab Upin, Bumi adalah berbentuk bulat,
dan apabila ia berpusing, bahagian yang terkena cahaya matahari menjadi
siang, dan (pada masa yang sama) bahagian yang sebaliknya menjadi
malam. Ipin bertanya lagi, bukankah matahari bergerak kerana matahari
naik pada waktu siang dan turun pada waktu malam. Upin membetulkan
salah tanggapan Ipin bahawa bukan Matahari yang bergerak, tetapi Bumi
dengan Bulan. Tambahnya, segenap Bulan memusing Bumi menjadi satu bulan,
dan segenap Bumi memusing Matahari menjadi satu tahun.
Bayangkan hidup di Utarid. Hari-hari panas terik, makanan pun cepat hangus.
Ipin bertanya, adakah yang paling besar dan membakar itu Matahari.
Upin mengiyakan dan menerangkan bahawa Matahari adalah pusat Sistem
Suria yang dikelilingi oleh semua planet. Ipin menyatakan cita-cita
untuk tinggal di planet lain ketika dewasa nanti, malah hendak mengajak
Kak Ros dan Opah berpindah sekali. Ipin bercadang untuk ke Utarid,
tetapi Upin menegah kerana Utarid terlalu panas untuk didiami kerana
terlalu dekat dengan Matahari.
Gelang Zuhal, kencana angkasa.
Upin dan Ipin menyusuri lingkaran asteroid untuk singgah di
destinasi seterusnya, iaitu Musytari si planet yang terbesar, disusuli
oleh Zuhal iaitu planet yang "paling cantik". Yang paling indah di Zuhal
adalah batu-batu bersinar bak emas yang membentuk gelang cantik Zuhal,
sungguh mengasyikkan hingga Ipin pun terkata tidak ingin pulang. Maka
Upin dengan tegas bertanya apa tujuan mereka mengembara di angkasa. Ipin
menjawab, hendak mencari anak bulan.
Makhluk asing!
Apabila baru berganjak, mereka terlihat sebuah piring angkasa
dengan makhluk asing di dalamnya. Makhluk itu pun takut terlihat
angkasawan itu lalu memecut pergi. Maka mereka pun pergi mengejarnya,
tetapi setelah jauh mengejar, akhirnya sut angkasa mereka kehabisan
tenaga.
Projek angkasa sekolah Kak Ros.
Maka cerita angan-angan Upin dan Ipin berkesudahan dengan Ipin yang
jatuh dari kerusi ke atas Upin. Setelah puas bercerita, Upin dan Ipin
menanya Kak Ros apa tujuan projek sistem surianya. Jawab Ros, ia
bertujuan untuk program sains angkasa anjuran sekolahnya. Malah Kak Ros
ingin bercerita akan angkasawan dan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) di
mana semua kajian angkasa dilakukan. Upin dan Ipin berkata, itu
termasuk mencari anak bulan dengan makhluk asing, tetapi Ros menyanggah.
Askar payung terjun.
Sementara itu di padang bermain, Ehsan, Fizi, Jarjit, Mail dan Mei Mei
bermain askar payung terjun. Ehsan menetapkan peraturan, siapa punya
turun paling akhir dikira pemenang. Maka mereka berlima melontarkan
figurin askar masing-masing ke langit, dan kelima-lima askar pun membuka
payung terjun dengan cantik sekali. Askar Jarjit paling bawah di
angkasa, maka dia cuba meniup askarnya supaya jatuh lebih lewat.
Tak jatuh, tak jatuh...
Permainan berkesudahan dengan askar Jarjit jatuh di atas kepala
sementara askar Ehsan paling akhir turun di atas tanah. Jarjit
menganggap dirinya menang kerana askarnya tidak jatuh di atas tanah,
tetapi Mei Mei menyanggah kerana askar itu jatuh dahulu walau apa pun.
Lambang cita-cita.
Datang juga Upin dan Ipin yang mahu bermain apa yang mereka bermain
itu. Maka Mail menawarkan figurin "angkasawan" dengan harga "dua
seringgit" atas dasar kembar itu bercita-cita mahu menjadi angkasawan.
Kata Upin, angkasawan tidak memakai payung terjun tetapi memakai roket.
Ujar Mail, itu tidak mengapa kerana mereka hanya bermain. Jadi Upin dan
Ipin pun membeli mainan baru mereka dan bersambung angan-angan mereka
sebagai angkasawan.
Stesen angkasa.
Angkasawan Upin dan Ipin memasuki semula stesen angkasa lepas lalu
membuka topi keledar mereka. Sebaik sahaja itu, Ipin mengeluh akan
betapa beratnya sut angkasa yang dipakainya. Jelas Upin, sut ini direka
khas untuk angkasawan dan dilengkapi dengan bekalan oksigen untuk
bernafas, tiub air untuk menyejukkan badan dan perlindungan dari
sebarang bahaya di angkasa. Tambahnya lagi, beratnya 50 kilogram.
Tiada graviti.
Ipin bertanya pula mengapa mereka terapung sedangkan mereka sudah
masuk stesen angkasa. Jawab Upin, itu kerana di dalam bilik mereka tiada
graviti. Maka apa-apa sahaja pun akan terapung. Kemudian, Upin
menjelaskan bahawa angkasawan yang hendak tidur haruslah memakai beg
tidur khas dengan tali pinggang pengikat; jika tidak, terapung-apunglah
orang ketika tidur hingga boleh terhantuk-hantuk dinding.
Cerita angkasawan Upin dan Ipin (yang sebenarnya diturunkan oleh
Kak Ros) sungguh menghiburkan lima orang kawan yang menonton, hingga
mereka sendiri pun berhajat untuk menjadi angkasawan (kecuali Mail yang
tidak begitu minat). Tetapi pesan Upin, untuk menjadi angkasawan
bukanlah senang, kerana calon harus banyak menjalani latihan dan lulus
dalam semua ujian. Tanya Fizi, apa itu graviti.
Cita-cita atau angan-angan?
Di tadika keesokan hari, Cikgu Melati
menerangkan bahawa graviti merupakan daya yang menarik kita ke pusat
bumi, maka penduduk bumi tidak terapung-apung. Upin menyatakan hajat
untuk menjadi angkasawan kerana mahu membawa mainan untuk
terapung-apung. Ehsan pula mahu membawa makanan.
Cikgu Melati memuji cita-cita mereka dan berkata bahawa
angkasawan dihantar ke angkasa atas misi-misi tertentu, iaitu membuat
kajian sains, kesihatan, dan sebagainya, maka mendekatkan lagi sains dan
teknologi dengan rakyat dan menyemai minat generasi muda terhadap
bidang sains angkasa. Tambahnya, sesiapa yang ingin menjadi angkasawan
harus memiliki keazaman, ilmu dan kesihatan yang baik.
Pujian daripada angkasawan.
Petang hari, Ros pulang dengan ceria menceritakan kepada Upin dan
Ipin akan kehadiran seorang angkasawan di sekolahnya sempena pameran
sains kelasnya. Ceritanya, angkasawan itu memuji hasil projeknya bahawa
cara dia mengaplikasikan ilmu sainsnya sangat kreatif dan mudah untuk
difahami. Namun Upin dan Ipin mengingatkan bahawa mereka menolong dalam
menyiapkan projek kakak mereka itu.
Teka siapa bagi hadiah ni?
Apapun, Kak Ros mengeluarkan hadiah yang diperolehnya daripada
angkasawan itu sebagai ganjaran atas usaha projeknya, iaitu sebuah model
roket yang pernah membawa angkasawan itu ke angkasa. Upin dan Ipin
teruja melihat roket itu lalu meminta hendak bermain dengannya, tetapi
Kak Ros melarang kerana ditulis padanya bahawa hadiah itu "untuk Ros"
dengan tandatangan beliau. Ipin menyedari dan bertanyakan butang pada
roket itu. Kak Ros pun tidak tahu, tetapi apapun cuba menekan butang
itu.
Jadinya, roket itu hidup dan terbang memecut, berpusing-pusing di
udara bilik dan kemudian melayang keluar tingkap! Hilangnya roket yang
baru dihadiahkan kepada Ros menyebabkan dia memarahi adik-adiknya,
tetapi pada masa yang sama roket itu selamat terhempas di halaman rumah.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar